Home > Liga Malaysia 2023 > TERENGGANU TEMUI RENTAK KEDUA

TERENGGANU TEMUI RENTAK KEDUA

Terengganu merekodkan kemenangan ketiga dalam Liga Super musim ini. Ini selepas anak-anak buah Tomislav Steinbruckner merekodkan kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan dalam “derby” pantai timur ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.

Kurang setengah jam sebelum perlawanan bermula, pengurusan The Red Warriors mengumumkan Choi Moon-sik ‘direhatkan’ sebagai jurulatih dengan tempatnya digantikan oleh Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih sementara.

Pengumuman mengejut ini sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan Kelantan pada separuh masa pertama. Sebaik sepak mula, tuan rumah mula menguji barisan pertahanan The Red Warriors yang diketuai oleh bek tengah Korea Selatan, Kim Min-gyu.

Tetapi usaha Kelantan untuk mengelak gawang mereka dibolosi tidak bertahan lama apabila Jordan Mintah membuka jaringan pada minit ke-16. Penyerang Ghana itu melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Nik Mohd Amin Ahmad.

Tersentak, anak-anak buah Rezal cuba mengejar gol penyamaan. Tetapi giliran penyerang Thailand, Adisak Kraisorn pula menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi sepakan leret pada minit ke-21.

Sebelum rehat, Terengganu menyangka mendapat sepakan penalti apabila Adisak dijatuhkan oleh Arip Ariffuddin dalam kotak penalti. Bagaimanapun, ia tidak dilayan oleh pengadil selepas mendapati Arip mendapatkan bola semasa menjatuhkan bekas penyerang Muangthong United itu.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan cuba merapatkan kedudukan. Percubaan terbaik mereka hadir menerusi Ismahil Akinade pada minit ke-61 tetapi percubaannya mengenai bahagian tepi gol.

Beberapa minit selepas itu, Ivan Mamut dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Afiq Azuan. Penyerang Croatia itu tenang menewaskan Nik Mohd Amin untuk gol ketiga Peteh pada minit ke-66.

Dengan kedudukan mereka kini selesa, Steinbruckner memasukkan Domagoj Pusic dan Hakimi Abdullah menggantikan Mintah dan Adisak.

Kelantan kemudiannya dibolosi dua gol lewat dalam tempoh dua minit. Pertama, menerusi Ivan Mamut pada minit ke-91 sebelum pemain gantian Hakimi Abdullah menambah gol kelima beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan ini melonjakkan Terengganu ke tangga keenam liga dengan 10 mata dengan Kelantan kekal di tangga ke-11 dengan empat mata.

Selepas ini, skuad Penyu bakal melayan Kuching City pada 9 April. Manakala Rezal pula perlu menggerakkan anak-anak buahnya untuk bangkit menentang Selangor di Stadium MBPJ pada hari yang sama.

Leave a Reply