Pasukan gergasi Pantai Timur, Sri Pahang FC terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Kuching City FC 3-2 di Stadium Darul Makmur hari ini.
Selepas meraih kemenangan kedua ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi suku akhir pertama Challenge Cup, kecemerlangan ini mahu diteruskan oleh Il Gatto.
Begitupun, tuan rumah bermula dengan langkah kanan apabila mereka dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Izzul Fikri Kamaruzaman. Stefano Brundo tenang menewaskan Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit ke-13 bagi meletakkan Sri Pahang di hadapan.
Keceriaan penyokong Tok Gajah tidak bertahan lama apabila Pedro Henrique menyumbat gol penyamaan pada minit ke-16. Gol tersebut merupakan gol pertamanya bersama Kuching City.
Tujuh minit kemudian, Abu Kamara buat Stadium Darul Makmur terdiam dengan meletakkan Il Gatto di hadapan pada minit ke-25.
Penyokong Tok Gajah kembali ceria apabila Kuvondik Ruziev melambungkan bola dari luar kotak penalti ke gawang kosong pelawat pada minit ke-43. Keputusan 2-2 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus meningkatkan asakan ke atas pelawat. Hasilnya, Rafael Silva menyumbat gol sulungnya buat Sri Pahang pada minit ke-62.
Il Gatto terus ditimpa malang apabila Wan Azraie tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Susulan itu, Shaiful Wazizi Mohammad dibawa masuk untuk mengawal gawang pelawat.
Kuching City berusaha mencari gol penyamaan tetapi terpaksa pulang ke Kuching dengan tangan kosong. Manakala bagi Sri Pahang pula, kemenangan ini membolehkan mereka menghambat Kedah yang menduduki tangga ketiga liga.
Selepas ini, Tok Gajah bakal mendepani aksi derby Pantai Timur dengan Terengganu FC pada 28 Oktober ini. Manakala Il Gatto pula memenuhi aksi tertunda menentang PDRM FC pada 8 Oktober ini.