Home > Liga Malaysia 2023 > SONY NORDE PENYELAMAT BUAT SANG PENYU

SONY NORDE PENYELAMAT BUAT SANG PENYU

Terengganu berjaya mengelak daripada kalah buat kali ketiga berturut-turut. Ini selepas skuad Penyu berjaya mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas untuk aksi ke-11 Liga Super hari ini.

Walaupun memegang gelaran naib juara Liga Super musim lepas, ia gagal diterjemahkan di atas padang oleh anak-anak buah Tomislav Steinbruckner untuk saingan musim ini. Sementara Sabah yang menduduki tangga ketiga liga musim lepas terus menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan kelebihan awal. Untuk 20 minit pertama, tuan rumah terpaksa menyerap asakan barisan serangan Peteh diketuai Jordan Mintah.

Tetapi Sabah yang mendapat sorakan 12,000 penyokong sendiri terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Telmo Castanheira. Castanheira mudah menanduk bola sepakan percuma Baddrol Bakhtiar menewaskan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Pelawat bertambah tertekan apabila pengadil memberi sepakan penalti kepada skuad Badak pada minit ke-35. Ini selepas bola dikatakan terkena tangan bek tengah Uzbekistan, Sardor Kulmatov dalam kotak penalti.

Biarpun cuba dibantah oleh pemain-pemain Terengganu diketuai kapten, Habib Haroon, bantahan mereka tidak dilayan. Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok mudah menyempurnakan penalti menewaskan Suhaimi bagi meletakkan Sabah selesa mendahului 2-0.

Tetapi sebelum rehat, Penyu merapatkan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik Sony Norde yang menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Menyedari kedudukan 2-1 masih lagi belum selesa, Kim Swee memasukkan Jailton Paraiba menggantikan S. Kumaahran dalam separuh masa kedua. Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu mencari sentuhan penyudah bagi menambah koleksi gol masing-masing.

Sebaliknya, aksi separuh masa kedua menyaksikan corak permainan keras ditampilkan kedua-dua pasukan. Tetapi pada minit ke-80, skuad Badak hampir menambah gol menerusi tandukan Gabriel Peres tetapi ia berjaya ditumbuk keluar oleh Suhaimi.

Peluang terbaik Terengganu menyamakan kedudukan ialah pada minit ke-84 menerusi Engku Nur Shakir Engku Yacob. Bagaimanapun, dia gagal menolak bola ke arah gawang yang terbuka sekaligus menghampakan rakan-rakan sepasukannya.

Dengan tambahan masa enam minit, Terengganu berusaha mencari gol penyamaan. Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila satu lagi sepakan percuma Norde pada minit ke-94 menewaskan Khairul Fahmi bagi mengikat keputusan 2-2.

Selepas ini, Sabah bakal melayan kunjungan Perak di Stadium Likas pada 23 Mei ini. Manakala Terengganu pula berharap dapat menghentikan rekod tiga kekalahan berturut-turut mereka dengan menerima kunjungan Penang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Mei.

Leave a Reply