Home > Liga Malaysia 2023 > SELANGOR SAH NAIB JUARA LIGA SUPER DAN AKAN KE ASIA

SELANGOR SAH NAIB JUARA LIGA SUPER DAN AKAN KE ASIA

Aksi Liga Super diteruskan dengan aksi hangat di antara Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC. Perlawanan yang diadakan di Stadium Darul Aman itu menyaksikan Selangor berjaya menewaskan Kedah dengan keputusan 1-0.

Kedua-dua pasukan dilihat menurunkan kesebelasan utama mereka bagi menndapatkan tiga mata berharga dengan misi ke pentas asia menjadi sasaran.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai perlawanan dan beberapa gerak serangan mula diatur terutama melalui serangan balas.

Peluang keemasan hadir buat Kedah pada minit ke-8 apabila Ifedayo menerima hantaran dari J. Partiban namun rembatannya berjaya ditepis Samuel Somerville dan rembatan susulan dari Manuel Ott turut diselamatkan penjaga gol tersebut.

Selangor hampir mendapatkan gol pendahuluan mereka pada minit ke-16 namun percubaan jarak dekat Yohandry Orozco berjaya diselamatkan Kalamullah di gawang Kedah.

Beberapa serangan telah dilancarkan oleh pasukan Kedah dan Selangor namun ketangkasan penjaga gol berjaya menyekat hasrat jaringan sulung daripada terhasil sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Selangor membuat satu pertukaran dengan membawa masuk Brendan Gan bagi menggantikan Mukhairi Ajmal manakala Kedah kekal dengan barisan pemain yang sama.

Pada minit ke-49, Manuel Ott berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun percubaan dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Permainan Selangor dilihat lebih tersusun di awal separuh masa kedua dengan beberapa percubaan merbahaya dilancarkan.

Hasil serangan bertali arus dari barisan serangan Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-64 apabila Ayron Del Valle berjaya meledak selepas menyambar hantaran silang dari Brendan Gan. Selangor di hadapan 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah kembali mengatur serangan dan hampir menyamakan kedudukan melalui Manuel Hidalgo pada minit ke-79 namun percubaannya berjaya diselamatkan Samuel Somerville.

Biarpun Kedah melancarkan serangan bertali arus namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. Dengan keputusan ini, Kedah semakin ketinggalan di tempat ketiga dengan 53 mata manakala Selangor disahkan naib juara Liga Super musim ini mengumpul dengan 58 mata.

Leave a Reply