Home > Liga Malaysia 2023 > SELANGOR MAKAN SAMAN PDRM

SELANGOR MAKAN SAMAN PDRM

Hasrat Selangor mencipta kemenangan mudah ke atas PDRM hari ini tidak kesampaian. Ini selepas skuad Merah Kuning dikejutkan The Cops 1-0 di Stadium MBPJ. Dengan reputasi PDRM sebagai pasukan yang liat untuk ditewaskan, Selangor menurunkan barisan terkuat bagi mendepani anak-anak buah Azzmi Aziz. Dan sebaik sepak mula, anak-anak buah Tan Cheng Hoe mula mengasak kubu pertahanan Sang Saka Biru.

Dan mereka hampir berada di hadapan menerusi Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit kedua. Bagaimanapun, sepakan derasnya hanya menuju ke sebelah tepi gawang PDRM yang dikawal Ramadhan Hamid.

Merah Kuning kerap menyerang menerusi barisan serangan diketuai Ayron Del Valle. Tetapi strategi road block yang digunakan PDRM untuk menghampakan JDT sebelum ini berhasil dan memastikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 semasa rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Red Giants terus buntu menembusi pertahanan Sang Saka Biru. Sebaliknya, PDRM pula yang membuka jaringan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-60.

Satu hantaran pantas dihantar kepada Suzuki sebelum bekas penyerang Bangkok FC itu melepaskan rembatan menewaskan Khairul Azhan Khalid. Itu juga merupakan percubaan pertama Sang Saka Biru dalam perlawanan hari ini.

Tersentak, Selangor cuba bangkit termasuk memasukkan Rauf Salifu dan Hein Htet Aung bagi memburu gol penyamaan. Sementara PDRM pula memasukkan Nor Hakeem Hamidun menggantikan Ramadhan selepas bekas penjaga gol UITM itu tidak dapat meneruskan perlawanan.

Di sebalik serangan bertubi-tubi yang dilancarkan Selangor, PDRM terus kental mempertahankan kemenangan 1-0 itu sehingga wisel penamat. Ini merupakan kekalahan pertama Red Giants di tangan The Cops sejak perlawanan Piala FA pada 2016.

Dengan keputusan ini, Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 28 mata. Manakala PDRM pula memintas Penang di tangga kesembilan dengan 16 mata.

Selepas ini, Merah Kuning bakal berdepan Kelantan United di Kota Bharu pada 7 Jun. Sementara Sang Saka Biru pula berdepan Sabah pada 8 Jun.

Leave a Reply