Home > Liga Malaysia 2023 > SABAH TERUSKAN KEMENANGAN MUTLAK

SABAH TERUSKAN KEMENANGAN MUTLAK

Usaha Sabah memburu kemenangan ketiga dalam Liga Super berjaya dicapai hari ini. Ini selepas mereka berjaya membenam Kuching City 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak. Bermain di atas padang yang becak, babak pertama menyaksikan Sabah berusaha mendominasi tuan rumah. Dan pasukan pelawat hampir mendahului seawal minit ketiga menerusi Saddil Ramdani tetapi sepakan cantiknya berjaya ditangkap penjaga gol Julian Schwarzer.

Kesungguhan pasukan pelawat memburu gol pembukaan akhirnya berhasil apabila Saddil menyumbat gol pertama pada minit ke-23. Selepas menerima hantaran kapten Park Tae-soo, pemain sayap Indonesia itu melarikan bola sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Filipina itu. Tersentak, Kuching City mula menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan. Hasilnya, Abu Kamara berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol skuad Badak, Damien Lim pada minit akhir babak pertama. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan Sabah berusaha memburu gol kedua. Kesungguhan mereka berhasil apabila Telmo Castanheira menjaringkan gol pada minit ke-56.

Gol tersebut terhasil akibat situasi perebutan bola dalam kotak penalti Il Gatto. Cubaan pemain pertahanan Kuching City mengeluarkan bola segera dirampas Darren Lok sebelum melorongkannya kepada Castanheira yang mudah menolak bola dalam gawang.

Gol berkenaan memberi keyakinan kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mendominasi permainan. Bagaimanapun, Sabah sedikit cemas apabila Kuching City menyangka telah menjaringkan gol penyamaan menerusi Sudi Abdallah pada minit ke-79.

Tetapi barisan pertahanan Sabah menghela nafas lega apabila gol tersebut dibatalkan selepas wujud kekasaran terhadap Damian semasa tuan rumah menjaringkan gol. Di sebalik serangan bertubi-tubi tuan rumah, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini meletakkan Sabah unggul sebagai pendahulu liga dengan sembilan mata. Jika Johor Darul Ta’zim (JDT) menang sekalipun ke atas Negeri Sembilan di Paroi, skuad Badak masih mendahului dari segi kelebihan jaringan.

Leave a Reply