Home > Liga Malaysia 2023 > SABAH RANTAI KL CITY DI MINIT AKHIR

SABAH RANTAI KL CITY DI MINIT AKHIR

Aksi Liga Super LS20 diteruskan melibatkan pertembungan antara Sabah menentang pasukan KL City yang berakhir dengan keputusan 3-2.

Babak separuh masa pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan gagal mencatat sebarang jaringan.

Serangan trio KL City menerusi Saravanan, Haqimi Azim dan Romel Morales beberapa kali mencemaskan penyokong-penyokong skuad The Rhinos. Bagaimanapun ketangkasan penjaga gol Sabah, Damien Lim memastikan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0.

Bersambung aksi kedua, Sabah bermula garang dengan jaringan pembukaan perlawanan hadir pada minit ke-50 permainan. Pemain tengah kebangsaan, Sturt Wilkin berjaya menjaringkan gol menerusi satu percubaan dan gagal diselamatkan Kevin Ray Mendoza.

Tersentak dengan jaringan tersebut, KL City terus melancarkan serangan. Gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-60 permainan apabila hantaran lintang pertahanan, City Boys Declan Lambert disambar cantik Romel Morales.

Penyerang dari Colombia yang berusia 25 tahun itu berjaya menanduk bola terus ke gawang pasukan tuan rumah, memberi nafas baru buat The City Boys.

Sepuluh minit selepas jaringan tersebut terhasil, KL City menambah derita pasukan tuan rumah menerusi Haqimi Azim. Gerakan solo penyerang muda itu memastikan jaringan buat KL City apabila rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Pada minit ke-79, Park Tae-su berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Sabah.

Pemain import Sabah, Gabriel Peres menjadi wira apabila berjaya menjaringkan gol sekaligus memberi kelebihan buat pasukan mendapat tiga mata penting.

Tiga minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Sabah 3-2 KL City.

Leave a Reply