Home > Berita Bola Terkini > RTM DAN UNIFI SAH JADI PENYIAR RASMI LIGA MALAYSIA 2022

RTM DAN UNIFI SAH JADI PENYIAR RASMI LIGA MALAYSIA 2022

Bahang saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali hangat dan kali ini ia bertambah meriah apabila RTM diumumkan sebagai rakan penyiar Liga M musim ini.


Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kerjasama terbabit adalah sebelum ini bersama-sama pihak Telekom Malaysia (TM) dalam penganjuran liga tempatan pada musim lalu.

“Ketiga-tiga pihak (MFL, TM dan RTM) bersetuju untuk meneruskan kerjasama pada 2022 dengan menjalin persefahaman yang menjadikan RTM selaku Rakan Penyiar unifi untuk bola sepak Liga M 2022 yang disaksikan secara simbolik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.


“Kerjasama yang dibentuk merupakan antara matlamat utama RTM dalam memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial, selaku Hos Penyiar Bersama stesen tidak berbayar milik kerajaan atau Free to Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view,” kata kenyataan itu.

Tontonan secara langsung disiarkan oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik.


Kempen Liga M akan bermula pada 26 Februari ini dengan sepak mula membabitkan aksi Piala Sumbangsih yang menyaksikan pertemuan antara juara Liga Super Johor Darul Takzim (JDT) dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC.


Kelainan tahun ini menyaksikan format perlawanan Piala Sumbangsih akan kembali seperti dahulu, iaitu dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan tidak dikira sebahagian daripada perlawanan liga.

Sebagai rekod, RTM bakal menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac ini, Piala FA dan Piala Malaysia, namun ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Leave a Reply