Home > Liga Malaysia 2023 > REKOD 100% JDT AKHIRNYA DIHENTIKAN KEDAH

REKOD 100% JDT AKHIRNYA DIHENTIKAN KEDAH

Kedah Darul Aman (KDA FC) melakar kejutan dalam saingan Liga Super apabila mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 pada aksi di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba mengawal permainan dengan hantaran-hantaran pendek bagi mendapatkan momentum perlawanan.

Peluang terbaik Kedah hadir pada minit ke-9 melalui Moses Atede yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun rembatannya berjaya diselamatkan Syihan Hazmi.

Selang seminit selepas itu, Juan Muniz berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring namun rembatan jarak jauh pemain dari Sepanyol itu diselamatkan Ifwat Akmal di gawang Kedah.

Kedua-dua pasukan terus mengatur serangan bagi mendapatkan jaringan pembukaan. Kedah akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-35 melalui jaringan Ifedayo Olusegun yang menanduk sepakan sudut dari Manuel Hidalgo. Kedah di hadapan 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT terus mengasak ke kubu Kedah melalui gandingan Bergson dan Heberty di barisan hadapan.

Ketika perlawanan hampir tamat, Bergson mempunyai peluang keemasan selepas mendapat hantaran lolos daripada Arif Aiman namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan Ifwat. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kedah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pada minit ke-50, Manuel Ott menyudahkan hantaran Manuel Hidalgo melalui rembatan deras jarak dekat sekali gus mengubah kedudukan menjadi 2-0 memihak Kedah.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Corbin Ong merapatkan kedudukan pada minit ke-52 hasil tandukan terbangnya selepas situasi kelam kabut di hadapan gol Kedah.

Hasrat Kedah untuk mendahului JDT dengan lebih lama tidak menjadi kenyataan apabila Heberty menjaringkan gol penyamaan melalui satu rembatan berkelas dunia pada minit ke-56 selepas mendapat umpanan cantik dari Bergson.

Sepuluh minit selepas itu, Ifedayo sekali lagi mempunyai peluang keemasan namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti terkena tiang.

Pada minit ke-74, JDT akhirnya berada di hadapan buat pertama kali dalam perlawanan ini selepas Arif Aiman mempamerkan kualiti lariannya apabila berjaya melepasi tiga pemain Kedah dan melepaskan rembatan deras sekali gus menewaskan Ifwat Akmal. Kedudukan menjadi 3-2 memihak JDT.

Kedah cuba bangkit menerusi gerak-gerak serangan terutamanya daripada Hidalgo dan Ifedayo namun benteng JDT kebal bertahan daripada dibolosi. Pemain gantian Amirbek Juraboev akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan hasil percubaan jarak dekat.

Kedudukan 3-3 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. Keputusan seri ini memaksa JDT menunggu lagi untuk ditabalkan sebagai juara Liga Super.

Leave a Reply