Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selangkah ke final Piala Malaysia 2023 apabila menewaskan Perak dengan keputusan 4-1.
Aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak itu menyaksikan Harimau Selatan menjaringkan gol awal menerusi tandukan pertahanan kiri, Oscar Arribas selepas menerima hantaran cantik oleh Heberty pada minit ke-7.
Arif Aiman Hanapi menggandakan kedudukan pasukan pelawat apabila mudah memperdaya penjaga gol Perak, Farhan Majid pada minit ke-12.
Tuan rumah memiliki beberapa peluang keemasan menerusi percubaan Son Seon-ung dan Kasper Nyholm namun dinafikan oleh Syihan Hazmi.
Aksi babak pertama tamat 2-0 memihak JDT.
Bersambung babak kedua, percaturan Tano Solari untuk memasukkan Sharol Saad membuahkan hasil yang cukup baik buat pasukan.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan gol ketiga pasukan menerusi tandukan cantik pada minit ke-71.
Perak cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan apabila rembatan cantik, Luciano Guaycochea menewaskan Syihan Hazmi sebelum Nazmi Faiz kembali melebarkan kedudukan JDT menjadi 4-1.
Keputusan ini kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk memberi kelebihan buat JDT ke laman sendiri.
Aksi timbal balik bakal berlangsung pada 2 November 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.