Home > Liga Malaysia 2023 > PIALA MALAYSIA: KL CITY BAWA BEKALAN KE HALAMAN SENDIRI

PIALA MALAYSIA: KL CITY BAWA BEKALAN KE HALAMAN SENDIRI

Finalis Piala FA 2023, KL City FC meneruskan rentak kemenangan di bawah pengendali sementara Miroslav Rulajkrana dengan membelasah Penang FC 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2023. Selepas kempunan meraih trofi Piala FA musim ini, The City Boys mengidam kembali beraksi di pentas final Piala Malaysia dan mengulangi kejayaan menjulang trofi berprestij itu pada 2021.

Dan sebaik sepak mula, gawang Harimau Kumbang sudah dibolosi pelawat seawal minit ketiga menerusi bekas penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre.

Kipre terus menjadi duri dalam daging kepada penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil dengan menyumbat gol kedua KL City FC pada minit ke-26.

Belum sempat anak-anak buah Chong Yee Fatt mengatur kebangkitan, Zhafri Yahya menambah gol ketiga pelawat pada minit ke-31.

Bersambung pada babak kedua, Penang FC melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas KL City FC tetapi semua percubaan mereka tidak berhasil.

Sebaliknya, Romel Morales merampas bola daripada kawalan Zaw Min Tun sebelum melepaskan rembatan untuk gol keempat The City Boys pada minit ke-83.

Kemenangan ini amat manis buat Rulajkrana kerana ini perlawanan terakhirnya sebagai pengendali sementara KL City FC sebelum menyerahkan tugas kepada jurulatih baru, Nenad Bacina.

Dengan bekalan selesa empat gol, The City Boys hanya perlu mempertahankan kelebihan tersebut apabila Harimau Kumbang bertandang ke Stadium Cheras pada 18 Ogos.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali mengharungi saingan Liga Super. KL City FC bakal berentap dengan Selangor FC untuk aksi derby Lembah Klang pada 8 Ogos.

Leave a Reply