Home > Liga Malaysia 2023 > PIALA FA: SELEPAS 18 TAHUN, KL CITY MARA KE PERINGKAT SEPARUH AKHIR

PIALA FA: SELEPAS 18 TAHUN, KL CITY MARA KE PERINGKAT SEPARUH AKHIR

Sabah terlepas peluang layak ke separuh akhir Piala FA 2023. Ini selepas anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tunduk 2-1 kepada KL City dalam perlawanan suku akhir yang diadakan di Stadium Likas hari ini.

Kedua-dua pasukan teringin layak ke separuh akhir dengan harapan dapat menjulang piala keramat berkenaan di pentas final. Sabah kali terakhir menjulang Piala FA pada 1995 dengan KL City pula melakukannya pada 1999.

Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, tuan rumah bermula dengan garang. Dan mereka mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti Gabriel Peres selepas pemain Sabah dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tersentak, KL City mengatur rentak untuk bangkit semula. Hasilnya, satu hantaran yang dibuat Declan Lambert dikuis Zhafri Yahya sebelum disepak kencang oleh Romel Morales untuk membolosi gawang Sabah pada minit ke-29.

Skuad Badak makin tertekan apabila T. Saravanan berjaya mengatasi cabaran Rizal Ghazali sebelum menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol kedua pada minit ke-44. Biarpun diberi masa tambahan selama empat minit, keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah berusaha mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, jentera serangan Sabah diketuai Jailton Paraiba gagal menembusi barisan pertahanan City Boys diketuai Giancarlo Gallifuoco.

Percubaan terbaik Badak ialah sepakan percuma yang diambil kapten Baddrol Bakhtiar pada minit ke-68. Bagaimanapun, bekas pemain tengah Kedah itu hampa apabila percubaannya dinafikan penjaga gol KL City, Azri Ghani.

Penyokong Sabah makin gelisah apabila satu lagi percubaan Baddrol tidak mengenai sasaran pada minit ke-75. Kapten Sabah itu menerima hantaran lintang daripada Rizal sebelum menanduk ke arah gol KL City tetapi tandukannya mengenai bahagian tepi gawang Azri.

Di sebalik serangan demi serangan ke atas kubu City Boys, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. KL City bakal bersemuka dengan Terengganu di pentas separuh akhir bagi menentukan siapa yang bakal layak ke final.

Dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam pertemuan Liga Super pada 5 Mac lalu, ia bakal menjanjikan perlawanan separuh akhir menarik bagi kedua-dua pasukan.

Leave a Reply