Home > Liga Malaysia 2023 > PIALA FA: REKOD TERBURUK KEDAH SEJAK 2005

PIALA FA: REKOD TERBURUK KEDAH SEJAK 2005

Hasrat Kedah untuk bangkit selepas dimalukan PDRM dalam Liga Super beberapa hari lepas tidak kesampaian. Ini selepas Penang menyingkirkan mereka di pusingan pertama Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Darul Aman hari ini.

Sebaik babak pertama bermula, Kedah bermula garang. Dan tuan rumah tidak menunggu lama apabila membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi kapten Manuel Ott.

Tetapi kelebihan Kenari tidak bertahan lama apabila Giovane Gomes menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-22. Tersentak, tuan rumah mengasak kubu Harimau Kumbang tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Kedah berusaha mendapatkan gol kedua tetapi banyak percubaan mereka digagalkan barisan pertahanan Penang yang diketuai Rafael Vitor. Sebaliknya, Sonny Saad mudah menewaskan Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-68 bagi meletakkan Harimau Kumbang di hadapan.

Kedah menyangka telah menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi bekas pemain sayap Pahang, Manuel Hidalgo. Malangnya, keceriaan mereka tidak bertahan lama apabila Hidalgo didapati berada pada kedudukan ofsaid.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit terakhir, Penang menyangka kemenangan berada dalam genggaman. Tetapi Ott muncul wira dengan menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-90 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dengan masa tambahan lima minit, Kedah terus memburu gol kemenangan. Fayyadh Zulkifli hampir melakukannya pada minit ke-93 tetapi Shafiq Afifi berjaya menepis bola sepakannya keluar.

Memasuki masa tambahan, Kedah berusaha memburu gol untuk melayakkan mereka ke pusingan kedua. Peluang terbaik mereka ialah menerusi tandukan Jonathan Balotelli pada minit ke-103 tetapi tandukannya itu terkena palang sebelum berjaya ditangkap Shafiq.

Dengan masa tambahan gagal menentukan siapa pemenang, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Shafiq muncul wira apabila menafikan sepakan penalti Lee Tuck dan Bojan Ciger sekaligus membantu Penang mara ke pusingan kedua Piala FA.

Leave a Reply