Home > Liga Malaysia 2023 > PIALA FA: JDT LANGGAR “ROADBLOCK” PDRM

PIALA FA: JDT LANGGAR “ROADBLOCK” PDRM

Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati status sebagai pasukan pilihan dengan mara ke suku akhir Piala FA. Ini selepas mereka berjaya mengatasi PDRM 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Sebaik sepak mula, Harimau Selatan mula mengasak dan memperoleh gol pertama menerusi Bergson da Silva pada minit ketiga. Sembilan minit selepas itu, derita The Cops semakin bertambah apabila penyerang Brazil itu menyumbat gol kedua perlawanan menerusi sepakan penalti.

Penalti diberi kepada tuan rumah susulan tindakan pertahanan PDRM, Aqil Rashid menjatuhkan Akhyar Rashid dalam kotak penalti. Bergson mudah menewaskan Aqil Razak bagi melebarkan kelebihan untuk JDT.

Sekitar minit ke-26, kegagalan bek tengah import, James Okwuosa mengawal bola mengakibatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti PDRM dengan Akhyar sekali lagi dijatuhkan. Giliran Leandro Velasquez pula menyempurnakan penalti bagi meletakkan Harimau Selatan selesa di hadapan.

Di sebalik ketinggalan jauh di belakang tuan rumah, pasukan pelawat yang dibimbing Azzmi Aziz sentiasa menggusarkan pertahanan JDT dalam situasi bola mati. Ini termasuk percubaan Okwuosa pada minit ke-31 yang berjaya dinafikan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias.

Perlawanan bertambah panas pada separuh masa kedua apabila Okwuosa diterjah keras oleh Bergson. Ini mengakibatkan perlawanan terganggu selama beberapa minit lebih-lebih lagi dengan kedua-duanya masih bertengkar tentang insiden berkenaan.

Bagi mengelak perkara ini daripada berlarutan dan menenangkan kedua-dua pasukan, Okwuosa dan Bergson kemudiannya dipanggil pengadil sebelum kedua-duanya diberi amaran lisan.

Dengan kemenangan dalam genggaman, Solari memberi peluang kepada beberapa orang pemain untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan. Ini termasuk penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

Penyerang berdarah Gambia itu hampir mencipta impak segera pada minit ke-75. Sumareh berjaya melarikan bola ke arah kotak penalti PDRM tetapi malangnya, tolakannya ke arah pintu gol terlampau lemah dan mudah dikeluarkan barisan pertahanan The Cops.

Perlawanan sekali lagi terhenti selama beberapa minit apabila pertengkaran tercetus antara Marcus Macauley dengan Nazmi Faiz Mansor sekitar minit ke-83. Ini disebabkan pemain tengah JDT itu cuba mendapatkan bola daripada Macauley tetapi tidak dilayan pemain tengah PDRM berkenaan.

Ia hampir saja membawa konfrontasi antara kedua-dua pasukan tetapi keadaan kembali tenang apabila kedua-duanya diberi amaran lisan oleh pengadil.

Pemain gantian, Adam Farhan menyangka telah menyumbat gol keempat pada minit ke-90 tetapi gol tersebut dibatalkan oleh pengadil. Tanpa sebarang tambahan gol, keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini membantu Harimau Selatan layak ke suku akhir dengan menanti sama ada Kuching City atau Penang sebagai lawan mereka di peringkat berkenaan. Tetapi bagi Sang Saka Biru, ini bukan bermakna pertemuan mereka dengan JDT sudah berakhir.

Leave a Reply