Home > Harimau Malaya > PIALA ASIA B-17: YAMAN BERTENAGA, MALAYSIA LONGLAI

PIALA ASIA B-17: YAMAN BERTENAGA, MALAYSIA LONGLAI

Hasrat skuad Malaysia B-17 melakar kemenangan sulung dalam Kumpulan A Piala Asia B-17 tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Osmera Omaro ditewaskan Yaman 4-0 di Stadium Thammasat.

Sebaik sepak mula, anak-anak buah Hasan Ali Albaadani mula menekan skuad B-17 negara. Dan mereka tidak menunggu lama berada di hadapan pada minit ke-21 menerusi Abdulrahman Al-Khader.

Tersentak, anak-anak buah Osmera cuba bangkit. Tetapi 10 minit kemudian, skuad negara semakin ketinggalan apabila Adel Abbas menewaskan penjaga gol Farish Farhan bagi meletakkan Yaman selesa mendahului 2-0.

Dengan keputusan 2-0 semasa rehat, skuad B-17 negara berharap tempoh rehat itu dapat digunakan untuk mendapatkan kembali momentum. Malangnya, apa yang diharap untuk separuh masa kedua meleset sama sekali.

Yaman memperoleh sepakan penalti pada minit ke-47 apabila bola terkena tangan Faris Danish dalam kotak penalti. Anwar Al Turaiqi tenang menewaskan Farish bagi menyumbat gol ketiga perlawanan.

Anak-anak buah Osmera cuba bangkit tetapi Yaman memastikan kemenangan menerusi gol sendiri kapten B-17 negara, Adib Ibrahim pada minit ke-87.

Keputusan ini meletakkan Yaman sebagai pendahulu Kumpulan A dengan tiga mata. Tetapi ini boleh saja berubah sekiranya tuan rumah, Thailand meraih kemenangan besar ke atas Laos dalam satu lagi aksi kumpulan malam ini.

Malaysia perlu meraih kemenangan ke atas Thailand dalam aksi kedua Kumpulan A pada 18 Jun bagi menghidupkan peluang mara ke suku akhir.

Leave a Reply