Home > Liga Malaysia 2023 > PERAK TERUS BUNTU, KL CITY MAKIN TAJAM

PERAK TERUS BUNTU, KL CITY MAKIN TAJAM

Pertembungan Liga Super hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan KL City menentang Perak.

KL City di bawah kendalian Bojan Hodak turun mempertaruhkan barisan terkuat dalam usaha memastikan tiga mata berharga diraih di laman sendiri.

Pasukan Perak tampak berjaya mendominasi bahagian tengah pada awal permainan menerusi Shafizi Iqmal sementara KL City pula memanfaatkan kelajuan pemain sayap, T. Saravanan untuk melancarkan bahagian serangan.

Dua sepakan penjuru KL City menerusi Tchetche Kipre dan Paulo Josue turut mencuri perhatian. Percubaan terus oleh kedua-dua pemain ini membahayakan gawang pasukan pelawat namun ketangkasan penjaga gol Perak, Shaheeswaran Thavakumar menafikan gol buat KL City.

Sebelum wisel separuh masa pertama ditiupkan pengadil, pasukan tuan rumah menerima sepakan percuma. Sepakan yang diambil Paulo Josue berjaya ditepis penjaga gol Perak bagaimanapun keadaan kucar-kacir dibahagian kotak penalti Perak telah dimanfaatkan import KL City, Sebastian Avanzini untuk meledak.

Jaringan Sebastian Avanzini memastikan KL City mendahului aksi separuh masa pertama, 1-0.

Separuh masa kedua diteruskan dengan pertukaran pemain dilakukan Lim Teong Kim. Shafizi Iqmal dan Fahmi Daniel dibawa keluar dan digantikan dengan Amirul Husaini dan Amirul Akmal.

Pada minit ke-62 permainan, Perak nyaris dibolosi menerusi sepakan percuma yang diambil Paulo Josue. Bagaimanapun ketangkasan Shaheeswaran Thavakumar sekali lagi mengagalkan hasrat tuan rumah untuk meledak buat kali kedua.

Selang tiga minit selepas itu, pemain sayap KL City, T. Saravanan pula dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah beliau menerima dua layangan kad kuning. Pada minit ke-79 permainan, pasukan Perak hadir mencemaskan kubu KL City seketika menerusi Amirul Husaini, malangnya rembatan Amirul melewati palang.

Pada babak akhir permainan, Perak dilihat lebih agresif mengasak ke gawang lawan untuk mencari gol penyamaan. Namun The Bos Gaurus masih buntu untuk memecah kebuntuan.

Lima minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan. KL City berjaya mencatat kemenangan kedua dalam saingan Liga Super 2023 menewaskan Perak dengan keputusan 1-0.

The City Boys akan meneruskan aksi saingan Piala FA bertemu Imigresen pada Jumaat, 14 April 2023 sementara pasukan Peran pula akan meneruskan kempen Liga Super bertemu Negeri Sembilan pada Rabu, 19 April 2023.

Leave a Reply