Home > Liga Malaysia 2023 > NEGERI SEMBILAN HANDAL MAIN LOPAK AIR

NEGERI SEMBILAN HANDAL MAIN LOPAK AIR

Negeri Sembilan FC merekodkan kemenangan keenam dalam Liga Super musim ini dengan membelasah Kelantan United FC 4-0 hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV itu sepatutnya bermula pada jam 9.00 malam. Bagaimanapun, hujan lebat mengakibatkan padang digenangi air sekaligus memaksa perlawanan ditangguhkan seketika.

Selepas pengadil perlawanan, Faizudin Ismail melihat keadaan padang cukup baik untuk dimainkan, perlawanan dimulakan pada jam 10.30 malam.

Dan pasukan pelawat tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi Herold Goulon pada minit ke-15.

10 minit kemudian, Hasbullah Abu Bakar menggandakan kelebihan skuad Hoben Jang Hoben itu. Tersentak, Kelantan United cuba bangkit mendapatkan gol.

Malangnya, usaha mereka tidak berhasil. Sebaliknya, R. Barathkumar menyumbat gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-42. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kelantan United terus bergelut mencipta peluang jaringan.

Ini membolehkan Negeri Sembilan mampu mengawal tempo permainan dan memastikan gawang mereka yang dikawal Sikh Izhan Nazrel tidak dibolosi.

Gol keempat yang dicari pelawat berjaya diraih menerusi Barathkumar pada minit ke-66. Kijang Hijau terus berdepan tugas sukar apabila Ariff Ar-Rasyid Ariffin dibuang padang pada minit ke-72.

Gol tersebut memastikan skuad Rusa pulang dengan tiga mata pada akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tempat kesembilan dengan 27 mata. Manakala Kelantan United kekal di tangga ke-12 dengan 14 mata.

Leave a Reply