Negeri Sembilan FC berjaya mencapai kemenangan yang ditunggu-tunggu selepas berjaya menewaskan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.
Perlawanan dimulakan dengan seimbang selepas kedua-dua pasukan masih mencari rentak dengan perlawanan.
Peluang keemasan hadir buat PDRM pada minit ke-32 melalui pemain import mereka, Bruno Suzuki namun percubaannya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Sikh Izhan di gawang Negeri Sembilan.
Tiada percubaan yang merbahaya berjaya dicipta kedua-dua pasukan lalu menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat tampak sedikit agresif dengan beberapa gerak serangan mula dilancarkan.
Negeri Sembilan akhirnya berjaya di hadapan apabila pada minit ke-49, R. Barathkumar berjaya menyempurnakan hantaran dari Shahrel Fikri sekali gus mengubah kedudukan menjadi 1-0 memihak Negeri Sembilan.
Tersentak dengan gol itu, PDRM cuba mengatur serangan dan mereka juga membawa masuk Mario Arques untuk menambah kreativiti di bahagian tengah.
Namun Sikh Izhan dilihat kebal di gawang Negeri Sembilan selepas berjaya menggagalkan beberapa serangan pemain PDRM.
Negeri Sembilan membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Fahmi Faizal dan A. Selvan untuk menambah kekuatan pasukan.
Strategi Negeri Sembilan itu nyata membuahkan hasil. Ini kerana, A. Selvan berjaya mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-77 melalui satu percubaan leret selepas serangan balas pantas dilancarkan.
Ketinggalan 2-0, PDRM terus menggandakan asakan mereka ke kubu Negeri Sembilan bagi merapatkan kedudukan. Namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0 memihak Negeri Sembilan.
Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan naik ke tangga ke-9 Liga Super, naik satu anak tangga manakala PDRM kekal di tangga ke-7 liga. Ini merupakan kemenangan pertama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super sejak 18 Mei yang lalu.