Home > Berita 433 > LAGENDA BOLA SEPAK BRAZIL,MENINGGAL DUNIA

LAGENDA BOLA SEPAK BRAZIL,MENINGGAL DUNIA

Ikon bola sepak Brazil Pele yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

“Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulis anak perempuan Pele, Kely Nascimento di Instagram.

Hospital Albert Einstein yang merawat Pele dalam satu kenyataan berkata, kematiannya selepas sekian lama bertarung dengan kanser disebabkan oleh ‘kegagalan pelbagai organ.’

Dinobat sebagai atlet abad ini oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 1999, Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970.

Digelar “O Rei” (Raja), dia menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kerjayanya yang paling terkenal sebelum bersara pada 1977.

Kesihatan Pele semakin merosot selepas dia bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon, dan menjalani pembedahan terakhir pada September 2021, diikuti dengan kemoterapi.

Dilahirkan pada 23 Oktober 1940, di bandar tenggara Tres Coracoes, Pele atau nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento membesar dengan menjual kacang tanah di jalanan untuk membantu keluarganya yang miskin.

Ibu bapa Pele menamakannya sempena pencipta lampu Amerika Syarikat, Thomas Edison.

Pele sudah menyerlahkan pesonanya sejak berusia 15 tahun, apabila dia mula bermain secara profesional bersama Santos.

Dia mengetuai kelab itu dengan pelbagai gelaran, termasuk Piala Antara Benua berturut-turut menewaskan Benfica pada 1962 dan AC Milan pada 1963.

Dikenali sebagai genius bola sepak, dia melambangkan gaya permainan yang dipanggil ‘bola sepak samba’ di Brazil, di mana dia diisytiharkan sebagai ‘khazanah negara.’

Pele menjaringkan rekod sepanjang masa 1,281 gol dalam 1,363 perlawanan untuk Santos (1956-74), pasukan kebangsaan Brazil dan New York Cosmos (1975-77).

Tetapi di luar rekodnya, dia akan diingati kerana merevolusikan sukan itu, nombor 10 yang sentiasa ada di belakangnya.

Leave a Reply