Saingan Liga Super diteruskan dengan aksi Kuching City FC yang melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Negeri Sarawak. Perlawanan sengit itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada KL City.
Aksi bermula dengan penguasaan bola lebih terarah kepada pasukan tuan rumah manakala KL City menunggu peluang melancarkan serangan balas.
KL City akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-19 melalui penyudah Paulo Josue yang menyambar hantaran dari S. Saravanan dari sisi kiri sekali gus memberikan pendahuluan buat KL City.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuching City cuba bangkit semula dan percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-31 melalui penyerang berbisa, Abu Kamara yang menanduk hantaran Petrus Shitembi, namun tandukannya berjaya diselamatkan Azri Ghani di gawang KL City.
Paulo Josue sekali lagi menjadi wira buat KL City apabila berjaya meledak gol kedua pada minit ke-41 melalui satu sungkitan menarik untuk menewaskan penjaga gol Kuching City, Wan Azraie.
Ketika perlawanan hampir tamat, Kuching City berjaya merapatkan kedudukan melalui sepakan penalti yang diambil Abu Kamara. Penalti tersebut dihadiahkan selepas S. Saravanan menjatuhkan Jimmy Raymond. Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan 2-1 memihak KL City.
Bersambung babak kedua, Kuching City dilihat lebih garang dengan beberapa serangan pantas dan berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-50 melalui Pedro Henrique namun percubaannya melambung tinggi.
Serangan bertali arus Kuching City akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 hasil jaringan Yuki Tanagawa selepas situasi kelam kabut di hadapan gol. Kedudukan kini terikat 2-2.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan gol kemenangan.
Pemain gantian KL City, Arif Shaqirin membuktikan kemasukannya membawa tuah buat pasukan apabila berjaya meledak pada minit ke-81 selepas menyudahkan hantaran lolos dari Paulo Josue sekali gus mengubah kedudukan menjadi 3-2 memihak KL City.
Biarpun Kuching City menggandakan asakan selepas itu, namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan ini berjaya mengukuhkan kedudukan KL City di kedudukan ke-7 liga malah mereka mengumpul mata yang sama dengan pasukan di tangga ke-6, Terengganu FC iaitu dengan 37 mata.
Manakala Kuching City kekal di tangga ke-13 liga dengan hanya mengumpul 9 mata selepas 25 perlawanan.