Home > Harimau Malaya > KELAYAKAN PIALA ASIA U23: MALAYSIA LAYAK HASIL MATA DISIPLIN

KELAYAKAN PIALA ASIA U23: MALAYSIA LAYAK HASIL MATA DISIPLIN

Hasrat Malaysia ke Piala Asia B-23 2024 tercapai selepas rekod disiplin mereka membantu mengatasi Iran untuk slot terakhir naib juara kumpulan.

Selepas tewas kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H, skuad B-23 negara terpaksa menunggu keputusan kumpulan kelayakan lain bagi mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.

Sebelum perlawanan menentang Thailand, dari segi kedudukan naib juara terbaik, Malaysia menduduki tangga keempat dengan kelebihan gol +3. Keadaan ini jauh lebih baik berbanding Yaman dan Turkmenistan yang mempunyai kelebihan gol +2.

Walaupun ketiga-tiga pasukan mempunyai mata sama iaitu tiga mata, kemenangan ke atas pasukan pertama dan ketiga kumpulan saja yang dikira.

Misalnya, dalam Kumpulan C, kemenangan 3-0 mereka ke atas Singapura saja dikira. Perkara sama turut terpakai kepada Malaysia dalam Kumpulan H iaitu kemenangan ke atas Bangladesh.

Selain itu, peraturan juga tidak mengira kemenangan pasukan ke atas pasukan tercorot dalam kumpulan. Ini sekaligus mempengaruhi kedudukan pasukan dalam carta naib juara kumpulan terbaik.

Kedudukan Malaysia mula goyah apabila Tajikistan berjaya mengikat Australia 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan I awal pagi ini.

Ini disusuli kejayaan Kuwait mengikat Iraq 2-2 dalam aksi terakhir Kumpulan F. Ini sekaligus menyaksikan Iran dan Malaysia berada di tangga keempat dan kelima carta dengan perbezaan gol sama iaitu +3.

Dengan kedua-dua pasukan terikat dari segi perbezaan gol, Malaysia perlu berharap mereka mempunyai rekod disiplin yang lebih baik daripada Team Melli Omid.

Jika kedua-dua pasukan masih terikat dari segi rekod disiplin, satu cabutan undi akan dibuat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi menentukan pasukan mana yang layak. Cabutan ini yang menentukan sama ada Harimau Muda layak atau sebaliknya.

Begitupun, skuad negara boleh menghela nafas lega kerana tidak perlu melalui proses undian. Ini kerana rekod disiplin mereka sepanjang pusingan kelayakan sudah cukup untuk mara ke Piala Asia B-23 2024.

Malaysia mara ke Piala Asia U23 2024 dengan status selaku pasukan runner up ke-4 terbaik dalam kejohanan apabila merekodkan disiplin yang lebih baik dari Iran.

Leave a Reply