Home > Liga Malaysia 2023 > KELANTAN TERUS LEMAU DI BULAN RAMADAN

KELANTAN TERUS LEMAU DI BULAN RAMADAN

Momentum kemenangan 3-0 yang dicatat ke atas Manjung City dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA gagal diteruskan Kelantan. Ini selepas anak-anak buah Frank Bernhardt itu tumpas 6-1 kepada Sabah di Stadium Likas hari ini.

Sebaik sepak mula, Sabah menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi Daniel Ting. Daniel mudah menyempurnakan hantaran pemain import Korea Selatan, Ko Kwang-min bagi meletakkan skuad Badak di hadapan.

Belum sempat Kelantan bangkit memburu gol penyamaan, bekas pemain KL City itu sekali lagi muncul sebagai penjaring pada minit ke-11. Sekali lagi, kombinasinya bersama Kwang-min menyaksikan Daniel mudah menanduk bola menewaskan Farhan Abu Bakar.

Dengan keputusan 2-0 pada rehat separuh masa, The Red Warriors (TRW) cuba bangkit pada separuh masa kedua. Dan hasilnya, Miguel Cifuentes merapatkan jurang menerusi gol ke penjuru atas gawang Sabah pada minit ke-46.

Tetapi keceriaan anak-anak buah Bernhardt tidak bertahan lama apabila Dominic Tan kembali menambah jurang dua gol Sabah menerusi gol pada minit ke-48. Kapten skuad Badak, Baddrol Bakhtiar menambah derita pelawat dengan gol cantik pada minit ke-61.

TRW terus hilang punca apabila Stuart Wilkin melepaskan rembatan voli tepat ke penjuru atas gawang mereka pada minit ke-75. Kesilapan Farhan menumbuk bola menyaksikan bola sampai di kaki Stuart sebelum melepaskan rembatan kencang ke arah gawang pelawat.

Telmo Castanheira memastikan malam gemilang Sabah dengan gol pada minit ke-91. Castanheira mudah menyempurnakan ‘chip’ yang tercipta hasil hantaran Stuart bagi memastikan kemenangan besar 6-1 ke atas pasukan pelawat.

Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini melonjakkan Sabah ke tangga keempat liga dengan 17 mata, satu mata di hadapan Kedah. Sementara Kelantan pula terus berada di zon tercorot Liga Super dengan empat mata selepas merekodkan kekalahan keempat berturut-turut dalam liga.

Dengan pasukan berehat sebentar menjelang sambutan Aidilfitri, Sabah akan menentang Selangor pada 27 April. Sementara Kelantan pula berdepan Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 28 April.

Leave a Reply