Home > Liga Malaysia 2023 > JDT KUBURKAN STADIUM LIKAS

JDT KUBURKAN STADIUM LIKAS

Aksi Liga Super 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Sabah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). Perlawanan LS19 yang berlangsung di Stadium Likas memihak kepada pasukan pelawat.

Sabah bermula garang apabila berjaya membuka akaun jaringan pada minit 13 permainan. Rembatan deras Jafri Firdaus Chew dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Jaringan tersebut terhasil selepas serangan balas Sabah ke kubu Harimau Selatan dimanfaatkan pemain import Sabah, Telmo yang pantas menghantar bola kepada Jafri sebelum beliau menyudahkan dengan baik untuk gol pertama perlawanan.

Selang lima minit selepas jaringan Sabah terhasil, JDT hadir menerusi pemain tengah, Juan Muniz. Muniz meledak cantik selepas menerima hantaran pendek daripada Arif Aiman ketika sepakan penjuru diraih anak buah Esteban Solari.

Pada minit ke-23 permainan, pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti buat JDT apabila mendakwa Rawilson Batuil melakukan kekasaran terhadap Oscar Arribas. Penalti tersebut disempurnakan penyerang JDT, Bergson Da Silva.

Sebelum aksi separuh pertama permainan tamat, skuad The Rhinos dihadiahkan sepakan bebas apabila Rizal Ghazali dijatuhkan Heberty. Bagaimanapun sepakan bebas yang diambil Telmo sekadar melewati palang gol.

Separuh masa pertama tamat, JDT mendahului Sabah dengan keputusan 2-1.

Bermula babak kedua permainan, JDT meneruskan momentum terbaik dengan ledakan menerusi import baru JDT, Heberty Fernandes. Heberty membuat satu percubaan dari luar kotak penalti dan percubaan tersebut gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Bergson Da Silva menambah derita pasukan tuan rumah pada minit ke-62 permainan. Serangan balas pasukan pelawat yang terhasil menerusi larian bertenaga Juan Muniz disudahkan Bergson dengan satu rembatan menggegar jaring.

Bergson sekali lagi hadir, melengkapkan malam gemilang untuk jaringan kelima buat JDT. Gerakan satu dua Bergson dan Heberty gagal disekat pertahanan Sabah sekaligus memastikan tiga mata diraih JDT di Stadium Likas.

JDT raih tiga mata, tewaskan Sabah dengan keputusan 5-1.

Skuad The Rhinos bakal meneruskan aksi Liga Super berdepan pasukan KL City sementara JDT bakal melayan kunjungan Perak pada Ahad, 13 Ogos 2023 kelak.

Leave a Reply