Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal pertama 2021/2025 sebentar tadi.
Pan Gon, 53, memiliki pengalaman cukup luas dalam bidang kejurulatihan, di mana bekas pemain Ulsan Hyundai di Liga Korea Selatan itu pernah melatih skuad kebangsaan Hong Kong sebelum ini.Kini beliau adalah Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan dan dikatakan pilihan hangat untuk membimbing skuad Harimau Malaya.
Presiden FAM juga turut memaklumkan bahawa Kim Pan-gon akan turut membawa 4 orang staf kejurulatihan beliau sendiri termasuk jurulatih penjaga gol, pembantu teknikal dan juga penganalisis.Dalam sidang media itu juga, Datuk Hamidin mendedahkan bahawa kontrak Kim Pan-gon bersama pasukan Malaysia adalah selama 2 tahun dengan pilih lanjutan 2 tahun lagi.
Malah, beliau juga bakal mencipta sejarah sebagai jurulatih dari Korea Selatan yang pertama dilantik ke jawatan itu sejak 1963.
Bola sepak Malaysia sebenarnya bukan asing bagi Kim Pan-gon. Ketika bersama Hong Kong pada 2017, Kim berjaya mencatat dua keputusan positif menentang pasukan negara di perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia apabila mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat, sebelum menang 2-0 di Hong Kong.