Home > Liga Malaysia 2023 > GILIRAN SABAH “BER-SIUUU” DI STADIUM LIKAS

GILIRAN SABAH “BER-SIUUU” DI STADIUM LIKAS

Sabah berjaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Selangor dalam liga sejak 2020. Ini selepas anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengaibkan Gergasi Merah 2-1 di Stadium Likas hari ini.

Skuad Badak tampil dengan rekod masih belum kalah di Stadium Likas musim ini. Tetapi lawan mereka, Selangor yang dibimbing Tan Cheng Hoe pula hadir dengan rekod empat kemenangan berturut-turut termasuk kemenangan 5-1 ke atas Terengganu pada 18 April lepas.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan berusaha memburu gol pembukaan. Tetapi dalam tempoh dua minit, Merah Kuning menguji kecekapan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Faisal Halim terlebih dahulu menguji kecekapan Khairul Fahmi menerusi rembatan pada minit ketujuh tetapi berjaya ditampan keluar. Sepakan sudut yang diambil selepas itu menyaksikan Yazan Al-Arab gagal menanduk bola hantaran Ayron Del Valle.

Sabah mendapat gol pembukaan pada minit ke-24 menerusi gol penalti Saddil Ramdani. Ini selepas kapten Baddrol Bakhtiar dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Yazan.

Susulan itu, Selangor mendapat pelbagai peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi gagal. Ini termasuk percubaan tepat Faisal yang dinafikan Khairul Fahmi pada minit ke-39.

Dengan kedudukan 1-0 memihak kepada tuan rumah pada rehat separuh masa, Merah Kuning menggandakan asakan pada separuh masa kedua. Dan hasilnya, Faisal menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-52.

Biarpun cuba dihalang beberapa pemain pertahanan Sabah, Faisal melepaskan rembatan ke arah gol pasukan tuan rumah. Bola melantun terkena tiang sebelum terkena badan Khairul Fahmi dan masuk ke dalam gawang.

Dengan keputusan 1-1, kedua-dua pasukan berusaha memburu gol kedua. Tuan rumah kembali mendahului pada minit ke-65 menerusi sepakan percuma Baddrol.

Selangor yang memburu gol penyamaan buat kali kedua segera memasukkan Yohandry Orozco dan Hein Htet Aung. Tetapi skuad Badak hampir mendapat gol ketiga pada minit ke-76 menerusi Baddrol tetapi sepakannya terkena kaki rakan sepasukan, Jailton Paraiba sebelum dikeluarkan pertahanan pelawat.

Di sebalik kesungguhan Selangor memburu gol penyamaan, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membolehkan Sabah memintas Sri Pahang di tangga ketiga liga dengan 20 mata.

Sementara Selangor kekal di tangga kedua dengan 22 mata. Begitupun, kemenangan ini amat mahal harganya berikutan beberapa tonggak Sabah mengalami kecederaan semasa perlawanan seperti Darren Lok dan Dominic Tan.

Dengan liga berehat seketika bagi memberi ruang kepada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, saingan akan kembali bermula pada 18 Mei. Justeru, Sabah berharap tempoh tersebut cukup untuk pemain-pemain yang cedera ini kembali pulih sebelum aksi Liga Super bersambung.

Selangor bakal bertandang ke Stadium Perak untuk menentang Perak pada 20 Mei. Manakala Sabah pula berdepan ancaman Terengganu pada 19 Mei ini.

Leave a Reply