Home > Liga Malaysia 2023 > FAM GANTUNG LESEN “REFF BOTAK”

FAM GANTUNG LESEN “REFF BOTAK”

Keputusan kontroversi ketika mengendalikan aksi Liga Super babitkan Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas Jumaat lalu menyaksikan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria digantung serta merta daripada mengadili mana-mana aksi Liga Malaysia musim ini.

Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram di mana mendapati bahawa Zulkarnain terkhilaf dalam membuat keputusannya.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, selepas penelitian klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan, pengadil yang lebih dikenali dengan panggilan abang botak itu terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

“Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik,” katanya.

Pada aksi Liga Super Jumaat lalu, perlawanan babitkan Sabah dan Penang berpihak kepada tuan rumah dengan kemenangan 5-2, namun ia diwarnai dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan yang mencetuskan persoalan. 

Antaranya tindakannya memberi lima sepakan penalti dalam aksi itu, selain satu sepakan penalti yang diberikan ketika terjahan berlaku di luar kotak penalti.

Untuk rekod, ini bukanlah kritikan yang pertama ke atas Zulkarnain di mana pada musim lalu dia juga mencetuskan kemarahan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, DR Johan Kamal Hamidon yang mempertikaikan mutu pengadilan Zulkarnain.

Sementara itu, FAM memberi peringatan keras kepada semua pengadil dan mahu setiap pegawai perlawanan mengikut piawaian sebenar dalam mengadili aksi liga tempatan.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” katanya.

Menerusi keputusan itu, Zulkarnain muncul individu pertama digantung dalam kancah Liga Malaysia musim ini, berbanding jurulatih atau pemain digantung pada awal musim ekoran prestasi pasukan tidak memuaskan atau insiden pergaduhan babitkan pemain.

Leave a Reply