Home > Berita 433 > ESM DAPATKAN KHIDMAT PEMAIN BADMINTON NOMBOR 1 MYANMAR

ESM DAPATKAN KHIDMAT PEMAIN BADMINTON NOMBOR 1 MYANMAR

SUMBER GAMBAR : ECHO SPORT

Firma Konsultasi Sukan tempatan, ESM Internationale Sdn Bhd telah mengorak langkah besar dengan menjalinkan kerjasama profesional bersama atlet badminton Antarabangsa bertaraf dunia.

ESM Internationale telah pun menandatangani perjanjian bersama bintang badminton wanita Myanmar, Thet Htar Thuzar, di mana ESM Internationale akan bertindak sebagai Perunding Karier kepada pemain tersebut. Selaku Perunding Karier, ESM Internationale akan menjadi Wakil Esklusif pemain untuk sebarang rundingan kontrak serta bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal latihan, kejohanan, penajaan dan pengurusan penjenamaan Thet Htar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ESM Internationale, Encik Mohd Faizal Othman, pemilihan Thet adalah berdasarkan kepada penilaian teliti yang dibuat oleh ESM Internationale, di mana Thet dilihat sebagai seorang pemain wanita yang mempunyai potensi cukup besar untuk meningkat naik bagi tempoh 5 tahun yang akan datang.

“Sebagai Perunding Karier, kami melihat Thet mempunyai kualiti untuk bergelar jagoan dunia suatu hari nanti. Oleh itu, kami amat yakin dengan kebolehan yang ada pada beliau dan akan berusaha keras membantu beliau mencapai sasaran World Top 20 dalam masa 2 tahun ini. Buat masa ini, kami sudah pun mempunyai perancangan rapi yang telah sedia untuk dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut”.

Sebagai rekod, Thet Htar adalah merupakan pemain badminton nombor 1 Myanmar dan berkedudukan di ranking 73 dunia. Thet Htar pernah menjuarai beberapa kejohanan Siri Dunia serta mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Kejohanan Badminton Dunia di Jepun baru-baru ini dan Olympic 2020 di Tokyo.

Leave a Reply