Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui pasukan negara memiliki keistimewaan dan potensi untuk menggegar arena bola sepak antarabangsa dan yakin mampu mengubah kelemahan itu.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada pemain untuk mengikut dan memahami falsafah serta corak pemainan bola sepak moden yang akan diterapkan olehnya nanti.
Katanya, antara kelemahan ketara perlu diberi perhatian adalah masalah keyakinan diri yang menjadi halangan mengapa skuad negara sering gagal di peringkat antarabangsa.
Sedar dengan tempoh singkat yang terpaksa diharungi terutama untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, bekas pengendali Hong Kong itu berkata dia akan cuba melakukan yang terbaik untuk skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif.
“Bagi mempersiapkan pasukan untuk kelayakan Piala Asia, kami mempunyai tempoh yang singkat dan akan melakukan persiapan pada Mac.
“Sudah pasti saya memerlukan masa untuk mengenali setiap pemain. Saya akan cuba melakukan sebanyak mungkin analisis terhadap pemain yang ada berpotensi untuk mewakili pasukan kebangsaan.
“Kita perlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal kerana tanpa dua perkara itu kita tak boleh memberikan saingan hebat. Saya mempunyai pengalaman dan jika diberikan masa, pasukan yang kuat boleh dibentuk,” katanya.
Pan Gon berkata demikian pada sidang media memperkenalkan beliau sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Turut diperkenalkan pada majlis itu adalah empat pembantunya iaitu Pau Marti Vicente selaku penolong jurulatih, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi pasukan).
Mengenai penolong jurulatih tempatan, Pan Gon menjelaskan dia memerlukan sedikit masa untuk berbincang dan menilai calon yang ada sebelum membuat pengumuman rasmi.