Home > Liga Malaysia 2023 > CHALLENGE CUP: KEHADIRAN AIDIL SHARIL PACU KUCHING CITY KE FINAL

CHALLENGE CUP: KEHADIRAN AIDIL SHARIL PACU KUCHING CITY KE FINAL

Kuching City FC mengesahkan kemaraan ke final MFL Challenge Cup selepas menewaskan Kelantan United FC aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu hari ini.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama, hanya kemenangan saja yang boleh membawa salah satu pasukan ke final.

Justeru, tidak hairanlah Il Gatto dan Kijang Hijau saling menyerang selepas wisel perlawanan ditiup.

Begitupun, Kuching City dilihat lebih bertuah kerana mendahului pada minit ke-40 menerusi penyerang berbisa mereka, Abu Kamara.

Tandukan pemain import Brazil, Bruno Dybal pada awalnya berjaya ditepis penjaga gol Kelantan United, Shahril Sa’ari.

Bagaimanapun, tindakan pantas Dybal melorongkan bola muntah kepada Kamara memudahkan beliau menolak bola itu ke dalam gawang.

Gol tersebut merupakan gol ke-15 penyerang Liberia dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kijang Hijau terus berusaha mencari gol penyamaan.

Namun begitu, Il Gatto terus merencana serangan demi serangan menerusi bekas pemain import Terengganu FC, Petrus Shitembi.

Kelantan United semakin tertekan apabila sepakan percuma Dybal menerjah jaring mereka pada minit ke-63.

Ini mendorong pengendali Kijang Hijau, Ailton Silva membuat beberapa pertukaran dengan harapan mendorong anak-anak buahnya untuk bangkit mengejar.

Malangnya, kebangkitan yang dicari tuan rumah tidak berlaku dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kuching City mara ke final dengan keputusan agregat 3-1. Mereka kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Penang FC dan PDRM FC sebagai lawan mereka di pentas final Challenge Cup.

Leave a Reply