Home > Harimau Malaya > Umum > AFC CUP: TERENGGANU BANGKIT TEWASKAN STALLION LAGUNA

AFC CUP: TERENGGANU BANGKIT TEWASKAN STALLION LAGUNA

Terengganu FC sekali lagi bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan kelab Filipina, Stallion Laguna dalam aksi keempat Kumpulan G Piala AFC hari ini.

Skuad Peteh berharap dapat mencatat kemenangan hari ini selepas diikat 2-2 oleh lawan sama di Kuala Terengganu beberapa minggu lepas.

Bagaimanapun, The Stallions sekali lagi buat jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner menggaru kepala dengan mendahului pada minit ketiga menerusi Junior Ngong Sam.

Stallion terus melebarkan kedudukan menerusi Griffin McDaniel pada minit ke-14. Ini menjadikan kedudukan 2-0 buat tuan rumah.

Penyokong di Stadium Binan mula cemas apabila kapten Matthew Nierras menjaringkan gol sendiri pada minit ke-33. Kedudukan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, skuad Penyu mula menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan.

Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-67 menerusi penyerang berbisa Ivan Mamut.

Penyerang Croatia itu mudah menolak bola hantaran pemain sayap Sony Norde bagi menceriakan kem Terengganu.

Tersentak, The Stallions kembali mengasak bagi mendapatkan kelebihan pendahuluan buat kali ketiga.

Malangnya, itu tidak berlaku dengan Norde melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Nelson Gasic pada minit ke-87.

Gol tersebut cukup untuk Terengganu meraih pendahuluan sementara dalam Kumpulan G dengan 10 mata.

Kedudukan ini dijangka berubah sekiranya Central Coast Mariners meraih kemenangan ke atas Bali United dalam satu lagi aksi kumpulan.

Dengan impak yang diberikan sepanjang perlawanan, tidak hairanlah Norde dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Bekas pemain sayap Melaka United itu mendapat 9.4 mata.

Leave a Reply