Home > Harimau Malaya > Umum > ACL: JDT KUTIP 3 MATA PENUH MENENTANG BG PATHUM

ACL: JDT KUTIP 3 MATA PENUH MENENTANG BG PATHUM

Aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Seawal minit kedua permainan, pasukan tuan rumah telah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil selepas Shane Lowry dikesan mengasari Danilo Alves. Victor Mattos menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi sepakan penalti.

Jaringan tersebut bagaimanapun tak bertahan lama, giliran bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi mencatat nama sebagai penjaring. Kombinasi hantaran jarak jauh Jordi Amat dan sentuhan pertama Arif Aiman memastikan gol pertama JDT.

Pada minit ke-13 permainan, penjaring terbanyak Harimau Selatan, Bergson Da Silva meledak. Gerakan individu Heberty Fernandes telah disudahkan Bergson untuk jaringan kedua JDT.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului separuh masa pertama perlawanan dengan keputusan 2-1.

Bersambung aksi di babak kedua permainan, pengendali BG Pathum membawa masuk Igor Sergeev dan Frendy Alvares bagi menggantikan Danilo Alves dan Chatmongkol sementara Esteban Solari membawa masuk Feroz bagi menggantikan Jordi Amat.

Perancang tengah JDT, Juan Muniz terus melebarkan jurang jaringan untuk gol ketiga JDT. Sepakan deras dari Bergson yang ditampan kurang kemas Chatchai Budprom telah dimanfaatkan Muniz.

Pada minit ke-55 permainan, BG Pathum United kembali bernafas sekali lagi menerusi jaringan Victor Mattos. Hantaran lintang Chanathip Songkrasin telah disabar Victor dengan tandukan sekaligus merapatkan kedudukan di Pathum Thani.

Pada minit ke-61 permainan, Bergson da Silva hampir meledak sekali lagi. Sayangnya percubaan Bergson terkena tiang.

Arif Aiman Hanapi melengkapkan malam gemilang JDT dengan satu ledakan deras dari penjuru kiri gawang BG Pathum. Jaringan kedua Arif memastikan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan bergaya di laman lawan.

Aksi tamat, BG Pathum 2-4 Johor Darul Ta’zim.

Leave a Reply